Resepi Masak Lemak Cili Api Perut Dengan Rebung

Resepi Masak Lemak Cili Api Perut Dengan Rebung | Cukup tak puashati dan kecewa la juga bila masak lemak kuning rebung yang kami beli di kedai makan di Gombak tempohhari cukup tak menepati citarasa dengan rasa manis sebab tu saya panggil masak lemak kuning bukan masak lemak cili api malahan rebung yang digunakan tu memang keras dan tua.  

Memang cukup mengecewakan bagi seorang tukang masak amatur seperti saya yang cerewet sejak dah tua ni. Nak tahu kenapa saya membeli lauk bukan memasak, boleh baca di blog www.iamfuzy.com 

Resepi Masak Lemak Cili Api Perut Dengan Rebung

Pasti ramai peminat masak lemak cili api perut ni kan, ada resepi yang memasak perut lemak cili api dengan mangga muda, atau belimbing buluh tapi pokok belimbing buluh saya kali ni macam merajuk dan kalau ada buah pun, buruk betul dan nenas pulak sudah dibuat gulai lemak semalam.  

Sebenarnya memang hasrat nak memasak perut masak lemak cili api campur rebung dan kesemua bahan ni sudah pun dibeli hari Sabtu yang lepas di Pasar Keramat.

Jom kita tengok apa bahan mudah yang saya gunakan dan memasak masak lemak cili api ni memang cepat dan sedap.


Resepi Masak Lemak Cili Api Perut Dengan Rebung


Bahan-bahan

1 kilo perut 

Rebung madu

3 keping asam gelugur

1 batang serai, diketuk

1 helai daun kunyit 

1 paket santan RM2

Serbuk kunyit

Garam secukup rasa


Bahan dikisar/ditumbuk halus

 3 ulas bawang putih

20 batang cili api

3 inci kunyit hidup


Cara-cara penyediaan :

  • Perut dicuci bersih dan kemudian di rebus dengan 2 keping asam gelugur hingga lembut.
  • Masukkan bahan yang dikisar/ditumbuk bersama dengan serai yang diketuk ke dalam periuk dengan 1 mangkuk air, direnih dengan api sederhana
  • Bila perut sudah lembut dan empuk, buangkan air rebusan dan potong perut dalam saiz yang kecil atau mengikut selera anda.
  • Masukkan perut serta rebung bersama santan cair ke dalam periuk, kacau bagi perut sebati dengan bahan yang direnih, dimasak hingga mendidih tapi jangan pecah minyak.
  • Masukkan santan pekat serta asam keping, kacau hingga rata dan sebati. Masukkan garam secukupnya dan tabur daun kunyit yang dihiris tapi untuk kali ni saya tak letak daun kunyit sebab terlupa nak beli. Biarkan seketika dan tutup api. Siap!


Selamat mencuba


Nota :

Perut yang dijual di Pasar Keramat ada yang sudah siap dicuci dan ada yang belum dicuci, tapi kalau pandai nak mencuci dan tidak berbau, boleh la cuba tapi renyahnya memang sangat renyah walau saya tak pernah buat tapi pernah tengok bonda cuci perut tuala tu, memang sedap tapi kena tahan hidung dan nafas.  Sanggup? silakan.


Resepi lain yang boleh dicuba antaranya



Post a Comment

1 Comments